Thursday, January 27, 2011

Larangan Syariat Membenci Dan Mencaci Pemerintah

Assalamu'alaikum.

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pencipta.

Pembaca yang budiman,

Seperti yang dijanjikan,pada kali ini saya akan terangkan perihal tajuk yang diatas. Seperti biasa saya akan huraikan perkara-perkara yang bersangkutan dengan tajuk ini.

Ada beberapa mertabat yang perlu kita tahu.

1. Mertabat Ibubapa.

2. Mertabat Suami.

3. Mertabat Pemerintah.

4. Mertabat Nabi.

Kesemua mertabat ini adalah manusia dan mereka ini wajib ditaati. Ketaatan kepada manusia bersyarat kecuali Nabi (mutlak kerana Nabi tidak menyuruh berbuat maksiat kepada Allah SWT) iaitu selagi mereka tidak memaksa kamu melakukan maksiat terhadap Allah SWT. Sekiranya mereka memaksa kamu berbuat maksiat,ketaatan kepada mereka terangkat setekad perkara yang dipaksakan saje.

Lihat buktinya:

Hadis riwayat Bukhary dan Muslim:

Ibnu Umar r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w.: Seorang muslim wajib mendengar,taat pada pemerintahnya dalam apa yang disetujui atau tidak disetujui,kecuali jika diperintah maksiat. Maka apabila disuruh maksiat,maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat.

Dalam postings yang lepas,saya ada menerangkan tentang insiden yang berlaku kepada keluarga Yasir iaitu paksaan diikuti dengan penyeksaan. Apabila ini berlaku dibolehkan taat tetapi tidak diikuti dengan niat. Ini dibenarkan oleh Nabi. Sila baca postings saya yang lepas.

Oleh itu,syariat ini terpakai terhadap ketiga mertabat tersebut iaitu Ibubapa,Suami dan Pemerintah. Persoalannya siapa yang sewajibnya berlaku taat? Jawabnya, manusia yang dibawah jagaan orang yang berkuasa atau penguasa iaitu Anak-anak terhadap Ibubapa,Isteri terhadap Suami dan Rakyat terhadap Pemerintahnya.

Kesemua pertalian ini diperkuatkan dengan bukti Al Quran dan Hadis-hadis Nabi. Saya kira pembaca yang budiman tentu mengetahuinya.

Lain-lain bukti ialah perihal tanggongjawab yang dikenakan kepada mereka oleh Allah SWT. Sekiranya tanggongjawab itu tidak dilaksanakan dengan baik maka Allah SWT ada menyatakan hukuman yang akan dikenakan kepada mereka. Tanggongjawab inilah yang akan ditanya oleh Allah SWT kelak disana nanti.

Ketaatan kepada mertabat ini,satu perkara. Menentang mereka adalah perkara yang diharamkan oleh syariat. Jangankan kata menentang,mencaci dan memaki pun sama sekali tidak dibenarkan. Begitulah indahnya Islam ini yang peraturannya telah disusun sedemikian rupa oleh Allah SWT.

Jangankan kata nak menentang,mencaci dan memaki ketiga-tiga mertabat ini,hendak mencaci tuhan-tuhan orang kafir pun,tidak dibenarkan oleh Allah SWT.

Lihat buktinya:

Surah Al An Aam ayat 108:

"Janganlah kamu cerca(berhala-berhala) yang mereka sembah,selain daripada Allah,nanti mereka mencerca Allah pula dengan aniaya,tanpa ilmu pengetuan.Demikianlah Kami hiaskan bagi tiap umat amal perbuatannya,kemudian tempat kembali mereka kepada Tuhannya,lalu Allah mengabarkan kepada mereka apa-apa yang telah mereka perbuat."

Pembaca yang budiman,

Umat Islam dewasa ini terlalu banyak melanggar perintah-perintah Allah SWT. Seperkara yang mereka tidak perasan dan jahil tentangnya ialah penentangan terhadap pemerintah. Jika dahulunya,umat Islam menentang pemerintah menggunakan PEDANG untuk menjatuhkannya tetapi sekarang ini mereka menentang menggunakan UNDI bagi menjatuhkan pemerintah. Mereka tidak perasan. Lihatlah apa yang telah terjadi dengan umat Islam sekarang ini,berpecah-belah,berpuak-puak untuk mendapatkan kuasa memerintah. Apakah Islam tidak mengajar umatnya bagaimana sepatutnya akhlak serta hubungannya terhadap pemerintah? Apakah matlamat sebenarnya diadakan pemerintah itu? Bagaimana ini semua boleh berlaku?

Tentu sekali jawapannya ada pada salah satu amalan Demokrasi yang kufur yang diamalkan oleh umat Islam dewasa ini. Amalan Demokrasi yang membenarkan KEWUJUDAN parti TANDINGAN umat Islam. Amalan yang melahirkan bibit-bibit perpecahan,yang melahirkan akhlak dan peribadi yang jelek lagi tidak bermoral,amalan yang melahirkan kegilaan kuasa dan sebagainya. Apabila ini berlaku,umat Islam sebenarnya berTuhankan Demokrasi,berTuhankan manusia atau menyembah 2 Tuhan.

BerTuhankan Demokrasi - seperti mengamalkan amalan-amalan yang bercanggah dengan syariat Islam,membawa implikasi yang buruk terhadap agama dan jugak umatnya(Asy-Syura ayat 21 - "Adakah bagi mereka sekutu-sekutu yang mensyariatkan agama bagi mereka yang tidak diizinkan Allah").

BerTuhankan manusia - seperti menjadikan tok-tok guru mereka sebagai Tuhan selain Allah(At-Taubah ayat 31).

Menyembah 2 Tuhan - Kedudukan orang-orang Islam yang menyokong,mempertahan dan mengamalkan amalan Demokrasi yang kufur dalam kehidupan siasah/politik mereka disamping terus menganuti agama Islam dengan mengamalkan segala peribadatan ritual terhadap Allah SWT,mempunyai pengertian MENYEMBAH 2 TUHAN- Tuhan Islam dan Tuhan Demokrasi(Surah An-Nahl ayat 51: Allah berfirman:"Janganlah kamu sembah 2 Tuhan.Hanya Dia Tuhan yang Esa,sebab itu takutlah kepadaKu.")

Mengenai dengan kegilaan kuasa pulak,mereka rakus terhadapnya kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan bahawa dengan kuasa mereka boleh mendapat manfaat daripadanya walaupun perpaduan umat Islam menjadi pertaruhan. Kononnya,dengan kuasa mereka dapat melaksanakan syariat Islam,katanya. Sekarang ini,semua muslihat mereka telah terbongkar. Niat hanya tinggal niat saje, menjadi selimut kepada perjuangan yang mereka katakan perjuangan Islam itu. Sebenarnya,hasad dengkilah yang menjadi motif untuk mendapatkan kuasa.

Ini didedahkan oleh Allah SWT dalam surah Asy-Syuuraa ayat 14: "Tiadalah mereka berpecah-belah,melainkan setelah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan kerana berdengki-dengkian sesama mereka.Jikalau tiadalah terdahulu perkataan Tuhanmu sampai waktu yang ditentukan,niscaya dihukum antara mereka.Sesungguhnya orang-orang yang diwariskan kitab kepadanya,kemudian mereka,adalah dalam syak dan ragu-ragu."

Hadis riwayat Bukhary:

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Kamu akan berebut pemerintahan,dan akan menjadi penyesalan pada hari Qiyamat.

Hadis riwayat Attirmidzy:

Abu Bakrah r.a. berkata: Saya telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang menghina Raja (Pemerintah),Allah akan menghinakannya.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment