Assalamu'alaikum.
Pembaca yang budiman,
Sebelum saya terangkan perihal asas-asas politik dalam Islam,sebaiknya kita ikuti dulu pengertian politik menurut Islam.
Politik adalah ilmu pemerintahan atau 'ilmu siasah iaitu ilmu tata negara. Pengertian politik itu adalah sama saje antara Islam dan bukan Islam tetapi konsepnya berlainan. Politik dalam Islam menjeruskan kegiatan ummah kepada usaha untuk mendukung dan melaksanakan syariat Allah melalui sistem kenegaraan dan pemerintahan.
Terkandung didalam sistem kenegaraan dan pemerintahan itu adalah sistem-sistem yang telah saya sinaraikan pada postings saya yang ke 2. Bagi mendapatkan gambaran yang jelas saya sinarai sekali lagi iaitu:-
Sistem Kerohanian
Sistem Akhlak
Sistem Sosial
Sistem Ekonomi
Sistem Hukuman Jenayah
Sistem Pengadilan
Sistem Pentadbiran dan Pengurusan.
Kesemua sistem-sistem yang dinyatakan mempunyai asas-asasnya dan penghuraiannya. Jika hendak dihuraikan satu-persatu tentulah panjang penjelasannya. Apa yang saya ingin perjelaskan di blog ini ialah mengenai sistem politik dalam Islam bersabitan dengan ketidakfahaman masyarakat Islam sahingga berlaku perpecahan dikalangan umat Islam itu sendiri. Berlaku penyembahan terhadap amalan sistem Demokrasi yang bercanggah dengan amalan politik dalam Islam.
Asas-asas politik dalam Islam ialah:
1. Hakimiyyah Ilahiyyah.
Kuasa Pengadilan dan Kedaulatan hanyalah hak mutlak Allah. Ini membawa pengertian-pengertian yang berikut:-
1.1 Allah SWT menjadi Pemelihara manusia dan tidak ada jalan lain bagi manusia kecuali patuh dan tunduk kepada sifat IlahiyyahNya Yang Maha Esa.
1.2 Allah SWT mempunyai hak untuk menghakimi dan mengadili;tidak dimiliki oleh sesiapa kecuali Allah. Oleh sebab itu manusia wajib taat kepadaNya dan beribadah kepadaNya.
1.3 Allah SWT sahaja yang memiliki hak mengerluarkan hukum sebab Dialah satu-satuNya Pencipta.
1.4 Allah SWT sahaja yang memiliki hak mengerluarkan peraturan-peraturan sebab Dialah satu-satuNya Pemilik.
1.5 Allah SWT Maha Mengetahui sesuatu yang benar sebab Dia sahaja Yang Mengetahui hakikat segala sesuatu dan di tanganNyalah sahaja penentuan hidayah dan penentuan jalan yang selamat dan lurus.
Segala pengertian ini membawa erti bahawa teras utama kepada sistem politik Islam ialah tauhid kepada Allah daripada segi rububiyyah dan uluhiyyahNya.
Al-Furqan: Ayat 2
" Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi dan tiada mempunyai anak dan tidak ada bagiNya sekutu dalam kerajaanNya dan Dia menjadikan tiap-tiap sesuatu lalu mengaturnya menurut aturan tertentu."
Al-Qashash: Ayat 70
" Dia Allah,tidak ada Tuhan kecuali Dia. BagiNya puji-pujian di dunia dan akhirat dan bagiNya hukum dan kepadaNya kamu kan dikembalikan."
Al-An'aam: Ayat 57
" Tidak adalah suatu keputusan,melainkan bagi Allah. Dia mengisahkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memutuskan(segala perkara)."
2. Risalah.
Jalan kehidupan para Rasul diiktiraf oleh Islam sebagai jalan-jalan hidayah. Jalan kehidupan mereka berlandaskan kepada segala wahyu yang diturunkan daripada Allah untuk diri mereka dan juga untuk umat-umat mereka. Para Rasul sendiri yang menyampaikan hukum-hukum Allah dan syariat-syariatNya kepada manusia.
Melalui landasan risalah inilah maka para Rasul mewakili kekuasaan tertinggi Allah di dalam bidang perundangan dalam kehidupan manusia. Para Rasul menyampaikan,mentafsir dan menterjemahkan segala wahyu Allah dengan ucapan dan perbuatan mereka.
Allah SWT telah memerintahkan agar manusia menerima segala perintah dan larangan Rasulullah SAW. Manusia diwajibkan tunduk kepada perintah-perintah Rasulullah SAW dan tidak mengambil selain daripada Rasulullah SAW untuk menjadi hakim dalam segala perselisihan yang terjadi di antara mereka.
Al-Hasyr: Ayat 7
" Apa yang diperintahkan Rasul kepadamu maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagi kamu maka tinggalkanlah."
An-Nisa': Ayat 64
" Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah."
An-Nisa': Ayat 115
" Dan barangsiapa yang menentang Rasul setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mu'min,akan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatan yang telah mereka datangi dan Kami masukkan ia ke dalam jahannam dan jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
An-Nisa': Ayat 65
" Maka demi Tuhanmu,mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan,kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan,dan mereka menerima dengan sepenuhnya."
3. Khilafah.
Khilafah bererti perwakilan. Dengan pengertian ini,ia bermaksud bahawa kedudukan manusia di atas muka bumi ialah sebagai wakil Allah. Ini jugak bermaksud bahawa di atas kekuasaan dan kewajipan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Allah maka manusia dikehendaki melaksanakan syariat-syariat Allah dalam batas-batas yang ditetapkan. Ini adalah pengertian umum bagi manusia seperti mana telah diFirmankan oleh Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 30:
" Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi...."
Yunus: Ayat 14
" Kemudian Kami jadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi sesudah mereka supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat."
Khalifah pada pengertian yang khusus adalah orang-orang yang berkuasa dan menjadi penguasa antara manusia iaitu para pemerintah. Ini disebut dalam FirmanNya di dalam Surah An-Nisa' Ayat 59:
" Hai orang-orang yang beriman! Taati Allah dan taati Rasul dan yang mempunyai kekuasaan antara kamu. Kalau kamu berlainan pendapat tentang sesuatu,kembalikanlah kepada Allah dan Rasul,jika kamu beriman kepada Allah dan hari yang kemudian. Demikan itu lebih baik dan sebaik-baik jalan."
Prinsip-prinsip utama pemerintahan dalam Islam terdiri daripada beberapa perkara antaranya:-
1. Musyawarah.
2. Keadilan.
3. Kebebasan.
4. Persamaan.
Tujuan pemerintahan dalam Islam.
Memelihara,mendukung dan melaksanakan seluruh hukum syariat Islam untuk manusia di bawah penguasaannya. Para fuqaha Islam telah menggariskan sepuluh perkara penting sebagai tujuan kepada pemerintahan dalam Islam.
1. Memelihara keimanan di kalangan umat islam.
2. Melaksanakan proses pengadilan dan menyelesaikan masalah di kalangan rakyat.
3. Menjaga keamanan agar manusia dapat hidup dalam keadaam aman dam damai.
4. Melaksanakan hukuman-hukuman yang telah ditetapkan syara' demi melindungi hak-hak manusia.
5. Menjaga perbatasan negara dengan pelbagai persenjataan bagi menghadapi kemungkinan serangan daripada pihak luar.
6. Melancarkan jihad terhadap golongan yang menentang Islam.
7. Mengedalikan urusan pengutipan cukai,zakat dan sedekah sebagaimana yang ditetapkan oleh syara'.
8. Mengatur anggaran belanjawan dan perbelanjaan daripada perbendaharaan negara agar tidak digunakan secara boros ataupun secara kikir.
9. Melantik pegawai-pegawai yang cekap dan jujur bagi mengawal kekayaan negara dan menguruskan hal-ehwal pentadbiran negara.
10. Menjalankan pengawalan dan pemeriksaan yang rapi di dalam hal-ehwal awam demi untuk memimpin negara dan melindungi agama Islam.
Kesimpulannya,
Kita yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rukun-rukunnya serta Rasulullah sebagai pembawa risalah dan petunjuk ke jalan yang lurus, sebenarnya telah banyak terkeliru oleh sebab tipu-daya syaitan-iblis dan syaitan manusia. Akibat daripada itu, berlaku perpecahan terhadap umat Islam. Perpecahan berlaku kerana umat Islam tidak taat kepada apa yang diperintahkan dan yang dilarang oleh Allah dan Rasulullah terhadap mereka. Mereka tidak mempelajari daripada sejarah lampau umat Islam terdahulu yang berpecah-belah sesama mereka oleh sebab inginkan kekuasaan pemerintahan. Jika dahulu umat Islam menggunakan senjata PEDANG dan sebagainya untuk menjatuhkan pemerintah umat Islam tetapi sekarang umat Islam menggunakan UNDI bagi tujuan yang sama. Diburukkan lagi,umat Islam menggigit dan mengonggong amalan Demokrasi yang membenarkan kewujudan parti/kesatuan umat Islam tandingan, terpisah daripada parti/kesatuan umat Islam arus perdana;kerananya(kesatuan arus perdana) umat Islam bersatu padanya, sahingga berjaya berlepas diri daripada dijajah oleh pihak asing;mengecapi kemerdekaan.
Pembaca yang budiman,
Saya akan perjelaskan dalam penulisan saya yang akan datang mengenai siapakah yang sebenarnya mengamalkan ajaran Demokrasi; sahingga berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam,dan siapakah yang mengamalkan ajaran Islam.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment