Friday, December 3, 2010

Taatilah Pemerintah Umat Islam Jika Kamu Orang Yang Beriman!

Assalamu'alaikum.

Pembaca yang budiman,

Sebagai seorang yang mengaku beriman kepada Allah SWT,kita wajib taat kepadaNya dalam apa keadaan sekali pun. Dalam mentaati Allah SWT,cara yang terbaik ialah mengikuti cara Rasulullah SAW kerana beliau dilantik oleh Allah SWT untuk menjadi contoh tauladan kepada manusia. Apa-apa yang dibawa dan ditunjuki oleh Rasulullah pada hakikatnya adalah wahyu Illahi.

Surah Muhammad Ayat 2:

"Orang-orang yang beriman dan beramal salih dan percaya kepada apa-apa yang diturunkan kepada Muhamaad,pada hal ia sebenarnya daripada Tuhan mereka,Dia ampuni kesalahan mereka dan Dia perbaiki hal keadaan mereka."

Salah satu faktor perpecahan umat Islam di masa kini ialah ketidaktaatan umat Islam kepada pemerintah. Ini diburukkan lagi dengan amalan Demokrasi yang membenarkan penubuhan parti bagi sesiapa saja yang menginginkannya. Ini tidak terkecuali terhadap umat Islam. Penubuhan parti PAS sebagai parti tandingan kepada kesatuan UMNO berpunca daripada amalan Demokrasi ini. Parti itu terbit daripada kesatuan UMNO itu sendiri oleh beberapa pemimpin yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan dalam kesatuan UMNO.Sepatutnya ini tidak berlaku jika para pemimpin ini berlaku taat dan berpegang teguh dengan ajaran Islam agar mereka bersatu-padu didalamnya(Ali Imran ayat 103). Mereka mengada-adakan beberapa alasan berunsurkan agama bagi menghalalkan perpecahan. Mereka mendakwa perjuangan mereka adalah perjuangan untuk menegakkan Islam. Walhal,pada masa yang sama mereka menolak ayat-ayat Al-Quran dan banyak hadis, yang menerangkan perihal kepentingan mentaati pemerintah dan kepentingan bersatu-padu.

Dalam surah An-Nisa ayat 59,Allah berfirman:

" Hai orang-orang yang beriman,taatlah Allah dan taatlah Rasul dan ulil-amri di kalangan kamu. Kalau kamu berbantah-bantah tentang sesuatu,hendaklah kamu kembalikan kepada Allah dan Rasul,jika kamu beriman kepada Allah dan hari yang Kemudian. Demikian itu lebih baik dan sebaik-baik jalan."

Mereka mendakwa bahawa ketaatan kepada ulil-amri bersyarat. Alasannya,ketiadaan perkataan 'taat' sebelum perkataan ulil-amri. Mereka juga membawa alasan hadis Nabi mengatakan tiada ketaatan kepada sesama makhluk dalam perkara maksiat terhadap Pencipta(Allah).

Alasan hadis yang dibawa oleh mereka itu benar tetapi itu adalah umum. Saya akan bawa satu hadis yang menerangkan bagaimana sepatutnya sesaorang itu bertindak apabila menghadapi situasi sedemikian.

1. Apabila ketiadaan paksaan.

Contoh,seorang tok guru membuat statement mengatakan umat Islam dibolehkan berpecah kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang zalim. Dengan alasan itu maka mereka tubuhkan satu parti lain bagi menandingi parti umat Islam yang telah sedia ada. Bagi yang menyetujui kepada tok guru,mereka dianggap sebagai membenarkan perkara yang diharamkan oleh Allah tapi dihalalkan oleh tok guru. Ini jelas dinyatakan di dalam AlQuran Surah At-Taubah 31 diikuti dengan hadis yang menerangkan tentang ayat ini seperti yang telah saya jelas di postings yang lepas.

2. Jika ada paksaan terhadap sesaorang untuk berbuat maksiat kepada Allah.

Hadis dari Bukhary dan Muslim ada menerangkan situasi ini.

Ibn Umar. r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w.: Seorang muslim wajib mendengar,taat pada pemerintahnya dalam apa yang disetujui atau tidak disetujui kecuali jika diperintah(paksaan) maksiat. Maka apabila disuruh maksiat,maka tidak wajib mendengar dan tidak wajib taat.

Jika dalam situasi paksaan diikuti dengan penyeksaan yang tidak tertanggong oleh si penerima seksaan maka dibolehkan mengikut perintah maksiat itu dengan syarat hati tidak redha pada perkara itu. Ini telah terjadi kepada salah seorang daripada sahabat Nabi bernama Ammar bin Yasir.

Sabda Nabi: "Orang-orang kafir itu telah menyiksamu dan menenggelamkanmu ke dalam air sampai kamu mengucapkan begini dan begitu?" "Benar,wahai Rasulullah", ujar Ammar sambil meratap. Maka sabda Rasulullah sambil tersenyum:"Jika mereka memaksamu lagi,tidak apa,ucapkanlah seperti apa yang kamu katakan tadi...!"

Lalu dibacakan Rasulullah kepadanya ayat AlQuran surah An-Nahl:106

"Kecuali orang yang dipaksa,sedang hatinya tetap teguh dalam keimanan....

Hadis Bukhary dan Muslim:


Ibn Umar r.a. berkata:kami jika berbai'at pada Rasulullah s.a.w. atas mendengar dan taat,maka Nabi s.a.w. bersabda:" Dalam apa yang kamu dapat mengerjakan(melaksanakan). Atau dalam batas kekuatanmu."

Pembaca yang budiman,

Alasan mereka yang membolehkan umat Islam menentang pemerintah menggunakan hadis tersebut telah saya perjelaskan. Dan sekarang mari membaca hadis-hadis dibawah yang menerangkan tentang wajib berlaku taat kepada pemerintah seperti tertera pada surah An-Nisa ayat 59. Maklum bagi kita bahawa Nabi adalah satu-satunya otoriti yang berhak menafsir ayat-ayat AlQuran.

Hadis Muslim:

Ibn Umar r.a. berkata: Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa yang melepas tangan dari taat akan bertemu dengan Allah pada hari Qiyamat,tidak berhujjah(beralasan). Dan siapa yang mati,sedang tiada dilehernya suatu bai'at,mati sebagai mati jahiliyah.

Hadis Bukhary:

Anas r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: Dengarlah dan taatlah meskipun yang terangkat dalam pemerintahmu seorang budak Habasyah yang kepalanya bagaikan kismis.

Hadis Muslim:

Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: Tetaplah mendengar dan taat dalam keberatan maupun keringanan,dalam kelancaran dan kesukaran,bahkan dalam reaksi dan berebutan pengaruh dengan kamu.

Dalam beberapa postings yang akan datang saya akan perjelaskan mengikut aturannya:

1. Bukti bahawa kewujudan parti PAS ini sesuatu yang diharamkan oleh syariat.

2. Apa reaksi umat Islam terhadap pemerintah umat Islam yang mereka katakan 'zalim'.

3. Larangan syariat mengenai membenci dan mencaci-maki pemerintah.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment